KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP Tony Pua hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman hari ini untuk memberikan keterangan berhubung dengan hantaran Facebook yang dibuatnya pada 18 November lepas tentang minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Tony Pua yang hadir bersama-sama peguamnya Haijan Omar berkata, beliau memberikan kerjasama penuh sepanjang sesi rakaman percakapan dengan pegawai penyiasat yang berlangsung kira-kira 45 minit itu.
“Pihak polis bertanya sama ada saya mengetahui bahawa dokumen ini telah dinyahklasifikasikan, saya katakan bahawa saya sudah semak dan memang minit mesyuarat itu sudah dinyahklasifikasikan,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan di sini.
Tony Pua berkata, beliau juga memberitahu pegawai penyiasat bahawa beberapa muka surat daripada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang disiarkan dalam laman media sosial telah diterjemahkannya dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, polis memaklumkan bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata polis menerima 55 laporan berkaitan dengan hantaran Facebook Pua yang didakwa menyentuh kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan tentang tahanan rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
— BERNAMA














