PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berasingan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung dua isu berbeza.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap Tony Pua membabitkan hantaran Facebook yang mengandungi maklumat penyahklasifikasi dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, sebanyak 55 laporan polis diterima berhubung hantaran tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata siasatan terhadap Khoo Poay Tiong pula membabitkan hantaran Facebook beliau mengenai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Sebanyak dua laporan polis diterima berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka itu.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Khalid berkata, kedua-dua siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Katanya, kes berkenaan masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“PDRM turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak sesekali menyentuh atau membangkitkan isu 3R dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














