SUBANG JAYA – Sebanyak 7,445 barang kes dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,191,901 dilupuskan Polis Kontinjen Selangor dalam satu operasi membabitkan 210 kertas siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, barang kes itu membabitkan 42 kes pusat hiburan dan 11 kes rampasan mesin bitcoin.
Beliau berkata, turut dilupuskan ialah barang kes daripada 22 kes rampasan rokok dan minuman keras, 56 kes perjudian, tujuh kes perjudian dalam talian serta tujuh kes kecurian wayar kabel.
“Sebanyak 65 kes lain-lain jenayah turut terbabit dalam pelupusan berkenaan.
“Antara barang kes yang dilupuskan ialah 145 unit telefon bimbit dengan anggaran nilai RM4,100 bagi kes OP Dadu membabitkan perjudian.
“Selain itu, sebanyak 332 unit komputer dan peranti komputer bernilai RM24,000 turut dilupuskan bagi kes OP Soga berkaitan perjudian dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelupusan itu turut membabitkan 186 unit mesin bitcoin bagi kes OP Elektrik serta 36 gulung wayar kabel bagi kes kecurian wayar kabel telekomunikasi.
Katanya, sebanyak 3,374 botol arak, 1,500 tin minuman keras dan 822 kotak rokok dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,027,411 turut dilupuskan bagi kes kontraban.
“Selain itu, sebanyak 1,029 unit barang kes lain-lain jenayah bernilai RM26,372 serta 21 unit alatan hiburan dengan anggaran nilai RM22,353 turut dilupuskan,” katanya.
Beliau berkata, pelupusan barang kes berkenaan mendapat kebenaran Majistret Mahkamah Shah Alam mengikut Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). – KOSMO! ONLINE
















