PARIS – Jurulatih Perancis, Zinedine Zidane berharap pemain sayap pasukan itu, Desire Doue akan meneruskan rentak cemerlang menjelang aksi Kumpulan A1 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Itali di San Siro awal pagi Jumaat ini.
Prestasi Doue bersama Paris Saint-Germain (PSG) sepanjang saingan musim ini berjaya menarik perhatian jurulatih berusia 54 tahun itu, sehingga membuat perbandingan antara pemain berkenaan dengan dirinya.
Zidane berkata, beliau seolah-olah dapat melihat Doue seperti dirinya ketika baru mula meniti detik kegemilangan apabila sentiasa mencabar diri untuk mempamerkan rentak terbaik dalam setiap perlawanan.
“Memang dia (Doue) telah menarik perhatian saya tetapi secara keseluruhan, saya juga tertarik dengan semua pemain. Apa yang Doue lakukan bersama PSG adalah satu perkara menakjubkan.
“Saya juga dapat melihat saya dalam diri Doue kerana kami berdua berkongsi ciri-ciri yang sama, iaitu tidak mudah berpuas hati dengan prestasi sendiri. Dia juga tidak ada masalah untuk mendengar nasihat pemain senior,” katanya.
Justeru, Zidane menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain berusia 21 tahun itu untuk membantu Les Bleus merobek pintu gol Itali, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A1.
“Walaupun di usia muda, dia sudah menunjukkan kematangan dan sentiasa mempamerkan aksi cukup berkualiti. Saya harap dia mampu membuat perbezaan ketika berdepan Itali nanti,” ujarnya. – AGENSI
















