Jurulatih angkat berat negara, Sakchai meninggal di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Belum pun reda kesedihan berhubung nasib malang atlet negara, Hafizuddin Roslin yang terpaksa memotong tangan kanan akibat kemalangan motosikal minggu lalu, sukan angkat berat sekali lagi dilanda duka apabila jurulatih Program Road To Gold (RTG), Sakchai Titajaree meninggal dunia.

Sakchai menghembuskan nafas terakhir di sebuah hotel di Thailand ketika sedang mempersiapkan dua badang negara, Aniq Kasdan dan Aznil Bidin untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, pemergian mengejut pengendali kelahiran Thailand itu adalah satu kehilangan yang cukup besar buat komuniti angkat berat antarabangsa.

“Terima kasih, jurulatih Sakchai atas segala ilmu, khidmat dan pengorbanan yang diberikan kepada Malaysia. Pemergian anda amat dirasai, sumbangan anda tidak akan dilupakan dan legasi anda akan terus hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kematian Sakchai berlaku menjelang kejohanan penting iaitu Kejohanan Kelayakan Pertama Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Doha, Qatar yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 11 Disember ini.

Untuk rekod, Sakchai merupakan pakar taktikal yang sangat berpengalaman luas. Beliau pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand di Sukan Asia 2023 di Hangzhou dan baru sahaja dianugerahkan gelaran Jurulatih Sukan Amatur Terbaik Thailand 2025 pada Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN