KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli tampil menjernihkan salah faham kepada bekas isteri, Uqasha Senrose yang menyindirnya susulan berkongsi pengalaman melalui fasa sukar ketika rumah tangga mereka berantakan.
Menurut Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, dia langsung tidak berniat menujukan kenyataan tersebut kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya berkongsi cabaran yang dilalui sepanjang menjayakan naskhah aksi, Takluk: Op Daulat.
“Sebenarnya benda itu bukan salah bual. Niat saya nak cakap mengenai cabaran penggambaran filem Takluk: Op Daulat.
“Saya cuma nak berterima kasih, alang-alang semua orang ada waktu itu termasuk kru dan pelakon.
“Mereka ada waktu saya ‘down’, saya nak berterima kasih kepada semua sebab mereka menyokong saya untuk saya habiskan filem itu. Filem itu memang saya tunggu-tunggu, cerita aksi memang perlukan mental yang kuat,” katanya kepada Kosmo! Online pada sesi meet & great duta Jakel 2026.
Selain itu, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu menjelaskan tidak mengungkit kisah lalu, namun tetap memohon maaf sekiranya kenyataan tersebut disalah tafsir.
“Saya tak sebut apa-apa perkataan atau nama tentang isu apa yang jadi waktu itu.
“Tak ada niat nak ‘tembak’ orang dan mungkin ini ada salah faham. Jadi, kalau betul salah faham, dari pihak saya, saya minta maaf sangat.
“Kalau itu buat dia ‘trigger’ dan terasa, saya minta maaf pada Uqasha. Saya nak jernihkan keadaan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Kamal berharap tiada kecaman yang berterusan berlaku memandangkan dia sedang bahagia bersama anak tunggalnya.
“Tak ada apa nak gaduh, saya tengah gembira bersama anak dan saya dengan Uqasha pun tak ada masalah. Kami pun banyak berkomunikasi fasal anak.
“Saya harap janganlah ada sesi kecam-mengecam. Itu cerita lama dah habis, dah basi,” ujarnya.
Sebelum ini, Kamal mengimbau kenangan pahit yang dilalui ketika berdepan kemelut rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian dengan Uqasha.
Belum pun sempat merawat luka perceraian, Kamal sebenarnya terpaksa mengetepikan semua perasaan itu apabila bergegas ke Kuantan, Pahang untuk menyambung penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat pada malam sama selepas selesai urusan di mahkamah tanpa sempat bertemu dengan ahli keluarganya.
Namun, kenyataan tersebut mencuri perhatian Uqasha sehingga membuatkannya menyindir Kamal dan menegaskan perkara berkenaan sudah lama berlalu.
Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan selebriti itu berakhir apabila Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














