MALAYSIA terbuka menerima permohonan negara-negara yang menyertai Sukan SEA 2027 bagi sebarang pertambahan acara untuk dipertandingkan pada penganjuran edisi ke-34 sukan dwitahunan itu tahun hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau bagaimanapun berkata, sebarang keputusan akhir berkaitan perkara itu, akan diputuskan oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
“Kita sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang dan ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand atau Filipina atau Indonesia, Singapura, Malaysia, kita beri galakan.
“Bagaimanapun, semua permohonan itu kita perlu teliti dan ikuti proses mengikut SEAGF, namun secara asasnya (kita) sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau telah menerima permohonan secara terus daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, untuk negara itu mencadangkan beberapa tambahan acara sukan pada Sukan SEA 2027.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 September, manakala Sukan Para ASEAN (APG) 2027 di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober. – BERNAMA














