PETALING JAYA – Tiga anak Allahyarham Akhmal Asyraf yang meninggal dunia di Oman, Khamis lalu berangkat ke negara berkenaan pagi ini bagi menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir.
Perkara itu dikongsikan sahabat Allahyarham, Saiful Nang menerusi hantaran di Threads yang turut memaparkan gambar tiga beradik tersebut berpakaian serba hitam.
Menurutnya, ketiga-tiga anak Allahyarham iaitu Hud, Luth dan Isa berangkat dengan diiringi sahabat-sahabat daripada Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).
“Alhamdulillah, anak-anak Akhmal Asyraf dan Kak Jiha dah dalam perjalanan untuk pertemuan akhir dengan ayahnya. Hud, Luth dan Isa berangkat dengan iringan sahabat-sahabat di RPWP,” katanya.
Dalam pada itu, Saiful turut menzahirkan harapan agar hubungan persahabatannya dengan Allahyarham dapat diteruskan oleh anak-anak masing-masing.
“Jika saya dan AA (Akhmal Asyraf) satu persahabatan, anak-anak AA juga sahabat kepada anak-anak saya. Harapnya mereka bersahabat macam bapa-bapa mereka bersahabat. Kami dan ayah menanti di Oman,” katanya.
Menerusi hantaran berasingan malam tadi, Saiful memaklumkan ketiga-tiga beradik itu dijadualkan berlepas ke Muscat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini dengan ditemani nenek mereka.
Turut berangkat menyantuni ketiga-tiga beradik berkenaan ialah Datin Seri Norhayati Musa, isteri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif RareTV, Muhammad Akhmal Asyraf Mohd. atau lebih dikenali sebagai Kapten AA meninggal dunia di Oman, Khamis lalu selepas menerima rawatan di hospital.
Allahyarham berada di negara berkenaan bagi menjalani penggambaran program televisyen sebelum jatuh sakit ketika dalam musafir.
Sementara itu, keluarga Allahyarham sebelum ini turut menyatakan keredaan dan memberikan keizinan agar jenazah disemadikan di bumi Oman meskipun jauh dari tanah air. – KOSMO! ONLINE














