PETALING JAYA – Jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RareTV, Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf Mohd. atau lebih dikenali sebagai Kapten AA akan disemadikan di Muscat, Oman.
Perkara itu dimaklumkan rakannya, Saiful Nang menerusi satu hantaran di Threads hari ini yang turut memberitahu tarikh dan waktu pengebumian masih belum ditetapkan.
Menurutnya, pengurusan pengebumian itu bergantung kepada proses dokumentasi dengan pihak kerajaan Oman.
“Perkembangan terkini, jenazah Allahyarham Akhmal Asyraf akan disemadikan di Muscat, Oman. Tarikh dan waktu bergantung kepada pengurusan dokumentasi dengan pihak kerajaan Oman.
“Keluarga Allahyarham termasuk ibu bapa dan pengasas RPWP (Rumah Pengasih Warga Prihatin) akan mula tiba di Muscat pada tengah hari esok,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang turut mendoakan agar segala urusan pengebumian Allahyarham dipermudahkan.
Malah, terdapat juga individu yang menyatakan kesediaan untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu menampung kos pengurusan termasuk penginapan dan pengangkutan keluarga Allahyarham di negara berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Akhmal Asyraf menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.58 petang waktu Oman semalam selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
Allahyarham berada di negara berkenaan bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 yang menelusuri sejarah Islam dan kisah para anbiya.
Allahyarham pada mulanya menerima rawatan di Hospital Nizwa selepas mengalami demam selama tiga hari sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat susulan kesukaran bernafas.
Keadaan kesihatannya itu menyebabkan Allahyarham terpaksa ditidurkan sekitar pukul 1.20 pagi waktu Oman.
Ketika itu, Allahyarham bersama pasukan produksi berada pada hari keenam daripada keseluruhan 14 hari penggambaran di negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE














