MARQUEZ mengucapkan selamat tinggal.

MotoGP: GP Valencia pentas terakhir Marc Marquez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VALENCIA – Bintang sensasi Sepanyol, Marc Marquez membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan persaraannya daripada kancah Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) berkuat kuasa sejurus berakhirnya Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu ini.

Keputusan mengejut itu dibuat hanya seminggu selepas pelumba berusia 33 tahun berkenaan mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP 2026 di Portugal, sekali gus menyamai rekod legenda Itali, Giacomo Agostini yang merangkul lapan gelaran dunia dalam kelas perdana.

Marquez memilih untuk melabuhkan tirai kariernya di Litar Ricardo Tormo ketika berada pada prestasi kemuncak, biarpun sebelum ini menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan kilang Ducati Lenovo sehingga musim 2028 pada Jun lalu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan indah ini. Saya berharap anda semua menikmati setiap detik perlumbaan sebagaimana saya menikmatinya.

“Perlumbaan hujung minggu ini akan menjadi aksi terakhir saya dalam MotoGP. Kita sudah mencipta sejarah bersama,” kata Marquez menerusi perkongsian video penuh emosi di garaj pasukan Ducati di Valencia, hari ini.

AKSI Marc Marquez selepas meraih juara bagi kelas MotoGP pada perlumbaan Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini. -AMIR KHALID

Pengumuman drastik itu mengundang suasana hiba dalam kalangan warga kerja Ducati serta ribuan peminat di litar yang tidak menyangka aksi penutup tirai musim 2026 ini bakal menjadi lambaian perpisahan terakhir daripada juara dunia

Pihak pengurusan Ducati Lenovo turut mengesahkan berita persaraan itu menerusi satu kenyataan rasmi sambil menzahirkan penghargaan tertinggi atas sumbangan luar biasa yang ditinggalkan Marquez dalam sejarah sukan permotoran dunia.

“Marc Marquez telah membuat keputusan muktamad untuk bersara daripada MotoGP dan GP Valencia 2026 akan menjadi perlumbaan terakhirnya selaku pelumba profesional bersama Ducati Lenovo Team,” jelas kenyataan pasukan itu.

Sepanjang karier gemilangnya, Marquez menjulang enam gelaran dunia kelas perdana bersama Repsol Honda sebelum mengharungi fasa kebangkitan luar biasa bersama Ducati untuk menambah koleksi kejuaraan ketujuh dan kelapannya, sekali gus meletakkan namanya sebaris pelumba terhebat sepanjang zaman. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN