BRUNEI – Hajat Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila dibelasah DPMM FC 0-5 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Walaupun hadir dengan motivasi terbaik selepas kalahkan Sabah FC, Sabtu lalu, KRW FC seakan dihimpit malang apabila terpaksa bermain 10 orang sepanjang tempoh satu jam selepas pertahannya, Iskandar Shah Mohd Jamil Kilin dilayangkan kad merah.
Terdahulu, DPMM FC memulakan perlawanan dengan cukup cemerlang apabila mendahului dua gol dalam tempoh 13 minit, masing-masing menerusi Jordan Murray pada minit ke-8 dan Azwan Ali Rahman, lima minit selepas itu.
Pelawat makin tertekan apabila pertahannya, Iskandar Shah diarahkan meninggalkan padang lebih awal selepas dikesan menggunakan tangan ketika usahanya menghalang percubaan Muhammad Hakeme Yazid Said.
Pengadil perlawanan, Abang Azharudin Abdullah kemudiannya memberikan sepakan penalti kepada DPMM FC dan peluang pada minit ke-32 itu tenang disempurnakan oleh Muhammad Hakeme dan empat minit selepas itu, giliran Dalberto mencipta nama selaku penjaring.
Dalberto yang melakukan umpanan berkualiti ketika jaringan pertama sekali lagi merobek gawang KRW FC apabila hanya memerlukan dua minit di babak kedua untuk menghasilkan gol kelima.
DPMM FC terus memberikan tekanan namun pelawat yang dilatih jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim dilihat terpaksa bekerja keras untuk mempertahankan gawang daripada terus dirobek tuan rumah.
Beberapa peluang yang dicipta DPMM FC gagal disudahkan dengan jaringan dan kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 18 mata. – KOSMO! ONLINE














