KAJANG – Polis giat memburu tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.23 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan tiga lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal.
“Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek yang terlibat. Jumlah kerugian akibat kejadian tersebut masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Nabil Aizat di talian 013-6232713 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan tiga individu yang memakai topi keledar merompak kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Bandar Teknologi Kajang, hari ini.
Perbuatan suspek itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah premis berhampiran kedai emas berkenaan.
Berdasarkan rakaman CCTV, tiga suspek dilihat meluru masuk ke dalam premis pada pukul 2.21 petang sebelum beredar kira-kira 30 saat kemudian. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














