KUALA LUMPUR – Pelbagai pembaharuan dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) di bawah kepimpinan Menterinya, Steven Sim Chee Keong bagi memperkasakan golongan usahawan serta memudahkan akses kepada pembiayaan perniagaan.
Usaha tersebut turut meraih pujian daripada Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang ketika membahaskan peruntukan kementerian itu di Dewan Rakyat, beberapa hari lalu.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas) menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian kementerian itu ketika membahaskan peruntukan Kuskop di Dewan Rakyat.
Selain pembangkang, usaha Kuskop dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan golongan usahawan turut mendapat pujian daripada Ahli Parlimen blok kerajaan, antaranya Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.
Mengimbas kembali pencapaian Kuskop sepanjang hampir setahun di bawah kepimpinan Steven, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan termasuk mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan kelulusan permohonan pembiayaan serta memperluas akses kepada modal perniagaan.
Antaranya, borang permohonan pembiayaan perniagaan Bank Rakyat yang sebelum ini setebal 16 muka surat, kini dikurangkan kepada tiga muka surat, selain membolehkan dokumen dihantar secara digital.
Di TEKUN Nasional pula, usahawan hanya perlu menyediakan empat dokumen bagi memohon pembiayaan dengan tempoh kelulusan dipendekkan daripada 10 hari kepada lima hari bekerja.
Malah, permohonan pembiayaan secara dalam talian bagi jumlah di bawah RM20,000 boleh diluluskan dalam tempoh 24 jam.
SME Bank turut memendekkan tempoh pemprosesan pembiayaan daripada 30 hari kepada 14 hari bekerja, manakala SME Corp Malaysia daripada 21 hari kepada tujuh hari bekerja.
Sehingga akhir Oktober lalu, jumlah pembiayaan menerusi tujuh agensi Kuskop mencecah RM12.15 bilion, melibat lebih 313,000 usahawan dan koperasi seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih 52,000 usahawan memperoleh akses kepada pembiayaan kali pertama.
Bank Rakyat merekodkan pembiayaan sebanyak RM4.8 bilion, diikuti SME Bank (RM3.49 bilion), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) (RM2.55 bilion) dan TEKUN Nasional (RM1.13 bilion).
Malah, kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dan penjamin turut diperluaskan dengan lebih 250,000 usahawan menerima manfaat menerusi AIM, hampir 36,000 menerusi TEKUN Nasional dan 1,850 menerusi Bank Rakyat sehingga akhir September lalu.
Dalam pada itu, menerusi Belanjawan 2027, kerajaan menyediakan pakej sokongan berjumlah RM67.9 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) iaitu tertinggi dalam sejarah negara, termasuk RM6.6 bilion bagi pembiayaan mikro.
Kadar cukai pendapatan syarikat bagi PMKS yang layak turut diturunkan kepada 14 peratus bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai dan 16 peratus bagi RM450,000 berikutnya.
Penurunan masing-masing satu mata peratusan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 PMKS dengan penjimatan cukai sehingga RM6,000 setahun.
Selain itu, PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta turut dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang diumumkan bagi Jun 2027.
Steven sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan mahu memastikan gaji pekerja terus meningkat tanpa mengabaikan kemampuan PMKS menanggung kos operasi, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Sementara itu, isu kelewatan pembayaran oleh syarikat besar kepada peniaga kecil antara perkara yang akan diberi perhatian oleh Kuskop menerusi Pelan Tindakan SCALE pada 2027.
Definisi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang tidak berubah sejak 2013 turut akan dikaji semula agar bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.
Pelan tindakan itu turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan PMKS, peluasan peluang perniagaan tempatan sebagai pembekal kepada syarikat besar serta usaha memudahkan lagi akses kepada pembiayaan.- KOSMO! ONLINE














