PETALING JAYA – Filipina menyatakan hasrat untuk meneroka model pendidikan tinggi Malaysia sekali gus membuka peluang baharu dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu dibincangkan sempena lawatan kerja rasmi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke Filipina.
Lawatan itu bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah Ke-10 (ASEMME10) di Bohol yang berlangsung dari Selasa hingga semalam.
Menurut KPT, Zambry turut menyertai Forum Perkongsian dan Jaringan Pendidikan Tinggi Malaysia-Filipina bersama Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina (CHED), Dr. Shirley C. Agrupis di Bohol Island State University (BISU).
“Perbincangan turut memberikan penekanan kepada kepentingan kerjasama rentas sempadan antara universiti serta peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin transformasi dan peningkatan kualiti hidup masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Lawatan tersebut turut menyaksikan pelancaran inisiatif ASEAN-GEMS Plus (ASEAN-GEMS+) yang dibangunkan CHED dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) bagi menyediakan geran untuk menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi.
Setakat ini, inisiatif ASEAN-GEMS yang dipelopori Malaysia berjaya mengumpulkan hampir 4,000 peluang biasiswa bernilai AS$198 juta (kira-kira RM816.26 juta) bagi menyokong pelajar ASEAN melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di rantau ini.
Dalam pada itu, Zambry turut berkongsi hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam memanfaatkan evolusi teknologi bagi membangunkan masyarakat yang adaptif.
“Dalam keghairahan mengejar kemajuan kecerdasan buatan (AI), kita tidak boleh mengabaikan keupayaan manusia untuk berfikir secara kritis, membuat pertimbangan dan membina hubungan sesama insan agar universiti terus mencorakkan perubahan serta memastikan kemajuan teknologi sentiasa berpaksikan nilai kemanusiaan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyertai sesi meja bulat bersama rakan sejawat dari negara-negara Asia dan Eropah yang membincangkan peranan pendidikan tinggi dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan kelestarian alam sekitar.
Menerusi sesi berkenaan, beliau berkongsi komitmen Malaysia dalam memperkasa penyelidikan berkaitan ekonomi biru, keterjaminan makanan, tenaga boleh baharu serta pemanfaatan AI bagi menyokong pemeliharaan alam sekitar.
Penyertaan Malaysia dalam ASEMME10 mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dan rujukan pendidikan tinggi di rantau ASEAN, selain merealisasikan aspirasi menjadi hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. – KOSMO! ONLINE














