PETALING JAYA – Beberapa kawasan di sekitar Manjoi, Ipoh, Perak dilanda banjir petang ini selepas hujan lebat menyebabkan air naik mendadak sehingga menenggelamkan jalan raya dan kawasan kediaman penduduk.
Situasi mencemaskan itu dikongsikan beberapa pengguna media sosial yang memaparkan keadaan kawasan perumahan digenangi air keruh, selain arus deras mengalir berhampiran kediaman penduduk.
Menerusi hantaran di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai @hazem_iqram turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
“Hati-hati semua yang masuk Manjoi, simpang Manjoi Gadget, Jalan Sri Tanjung sudah macam laut,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai @syaaynie__ mendakwa penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan berikutan paras air yang meningkat dengan pantas.
“Doakan Manjoi. Kali ini banjir teruk sangat, tidak sempat hendak selamatkan barang, air terus masuk dan naik tinggi,” katanya.
Turut dikongsikan beberapa gambar dan rakaman video oleh pengguna @ecxhnxs yang memperlihatkan kawasan perumahan di sekitar Jabatan Manjoi turut terjejas dengan beberapa kediaman dikelilingi air banjir.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan kebimbangan melihat keadaan banjir berkenaan, malah ada yang mendakwa hujan lebat dalam tempoh sejam sahaja sudah menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air.
“Uish, baru sejam hujan lebat. Gila ini,” komen @hunnyvaa_.
“Allahuakbar, dalamnya air itu. Semoga dipermudahkan semuanya. Amin,” ujar @misslovelytulip.
“Allah, tingginya banjir. Semoga cepat surut dan dipermudahkan semua urusan mangsa banjir. Amin,” kata @reen_asward.– KOSMO! ONLINE
View on Threads














