KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 29 tahun ditahan semalam berhubung sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang menyalahgunakan kemudahan penerbangan tentera.
Turut ditahan empat orang awam berhubung kes tersebut. Tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan berhubung kegiatan itu setakat ini 18 orang bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan terbaharu itu dilakukan susulan usaha mengumpul maklumat risikan dan siasatan berterusan bagi mengenal pasti dalang di sebalik sindiket berkenaan.
Menurutnya, pegawai TUDM berusia 29 tahun yang bertugas di Pangkalan Udara Tawau, Sabah, ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Zon Tengah di Pangkalan Udara Subang, Selangor pukul 6.40 petang.
“Susulan penahanan itu, kita melancarkan beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang bermula pukul 10.20 malam tadi dan berjaya memberkas tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 28 tahun serta seorang lelaki warga China berusia 30 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tempatan yang ditahan itu memiliki rekod jenayah lampau, malah salah seorang daripadanya adalah bekas tahanan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Setakat ini, seramai lapan suspek daripada tangkapan terdahulu sudah dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur dan Selangor hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), manakala lima lagi masih dalam tempoh tahanan reman.
“Lima suspek yang baru diberkas semalam pula direman bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengesan dalang utama serta saki-baki ahli rangkaian sindiket ini,” katanya.














