KUCHING – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan sebanyak 721 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 sudah dijual kepada parti politik dan individu menyatakan hasrat untuk bertanding, setakat malam tadi.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 40 calon sudah membayar deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, penjualan borang penamaan calon membabitkan parti politik serta individu yang berhasrat bertanding atas tiket masing-masing, termasuk calon Bebas.
“Jumlah borang dijual itu bagaimanapun tidak semestinya menggambarkan jumlah calon akan bertanding kerana keputusan akhir bergantung kepada mereka menyerahkan borang penamaan calon esok,” katanya selepas meninjau Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Taman Sukma di sini, hari ini.
Proses penamaan calon PRN Sarawak Ke-13 akan dilaksanakan esok di 82 pusat penamaan di seluruh negeri, dengan tempoh satu jam bermula pukul 9 pagi ditetapkan untuk penyerahan kertas pencalonan.
Ramlan berkata, kertas pencalonan itu mesti diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya selewat-lewatnya 10 pagi.
Ketika ditanya kemungkinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh membentuk kerajaan jika mendapat mudah dengan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon berikutan jumlah parti politik yang menyatakan hasrat bertanding agak kecil, Ramlan berkata, pihaknya akan menyemak perkara itu Peguam Negara.
“Ada peraturan berkaitan perlu kita patuhi sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan peraturan sedia ada, proses pilihan raya perlu dilaksanakan mengikut ketetapan berkuat kuasa.
“Sebarang pengumuman berhubung perkara itu hanya akan dibuat selepas SPR memperoleh pengesahan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Seramai 2,058,781 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Sarawak Ke-13, dengan hari mengundi ditetapkan pada 12 Disember ini, manakala pengundian awal pada 8 Disember.














