KUALA LUMPUR – Seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke atas landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Kerinchi, di sini, petang tadi.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, kejadian yang berlaku pada pukul 4.40 petang itu menyebabkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami sedikit kelewatan susulan kerja-kerja menyelamat.
Menurutnya, sejurus kejadian berlaku, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa ke landasan diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan.
“Penumpang terlibat dibantu oleh pegawai stesen untuk keluar dari kawasan landasan dan dibawa ke bilik kecemasan untuk mendapatkan rawatan awal.
“Brek kecemasan telah diaktifkan ketika tren menghampiri stesen berkenaan bagi membolehkan tindakan keselamatan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rapid KL, tiada penumpang dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut, manakala perkhidmatan Laluan Kelana Jaya kembali pulih sejurus kerja-kerja menyelamat selesai.
Susulan itu, pihaknya menasihatkan penumpang yang berasa kurang sihat atau memerlukan pertolongan ketika berada di stesen atau platform supaya mendapatkan bantuan daripada polis bantuan atau petugas stesen.
Penumpang juga diingatkan supaya sentiasa berada di belakang garisan kuning ketika berada di platform sebagai langkah keselamatan semasa menunggu tren. – KOSMO! ONLINE














