SITI NUR AINI (kanan) bersama suaminya pada Majlis Konvokesyen ke-28 UPSI di Tanjung Malim hari ini.

November genggam ijazah, Disember rangkul bayi sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Sarat hamil 35 minggu tidak menghalang seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ke-28 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Menurut Siti Nur Aini Najihah Azauha, 24, dia tidak menyangka dapat menghadiri majlis tersebut kerana kelahiran cahaya mata sulungnya itu dijangka pada bulan depan.

“Perasaan saya bercampur baur kerana dalam masa yang sama saya sedang menantikan dua detik penting dalam kehidupan iaitu menerima ijazah selain menyambut kelahiran cahaya mata pertama.

“Walaupun sedikit bimbang memikirkan keadaan fizikal, saya tetap teruja kerana konvokesyen kali ini menjadi pengalaman yang cukup istimewa,” katanya di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Katanya, lebih manis, kejayaan itu dikongsi bersama suami tercinta, Jamaludin Al Fatoni, 24, yang turut menggenggam ijazah yang sama.

“Saya dan suami mendirikan rumah tangga ketika menjalani latihan mengajar pada semester kelapan sebelum disahkan hamil selepas menamatkan latihan berkenaan.

“Suami banyak memberikan sokongan ketika saya menjalani latihan mengajar, menguruskan tugasan pengajian dan menyelesaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Sepanjang tempoh kehamilan sehingga menamatkan pengajian, dia menjadi sumber kekuatan,” katanya.

Jelas Siti Nur Aini, dia pernah mempertimbangkan untuk tidak menghadiri konvokesyen kali ini, namun keinginan untuk meraikan hasil usaha selama empat tahun mendorong dia membuat persediaan sewajarnya menghadiri konvokesyen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN