Kemalangan yang melibatkan enam buah kenderaan di di lampu isyarat Simpang Kuala, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, petang semalam.

[VIDEO] BYD tertekan pedal minyak punca kemalangan 6 kereta di Simpang Kuala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Tertekan pedal minyak beberapa kali selepas kereta tidak bergerak dipercayai punca BYD Selion 7 menghentam lima buah kereta di hadapannya dalam kejadian di lampu isyarat Simpang Kuala, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Setar menerima laporan mengenai kemalangan itu daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 5.11 petang.

Kenderaan yang terbabit adalah kereta jenis Proton S70, Toyota Corolla Cross, dua buah Perodua Bezza dan Toyota Yaris.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pukul 4.30 petang ketika kereta elektrik BYD dipandu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari arah pusat bandar Alor Setar menuju ke Simpang Kuala.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu tidak bergerak mungkin disebabkan masalah teknikal menyebabkan pemandunya menekan pedal minyak beberapa kali sebelum ia hilang kawalan.

“Kejadian itu menyebabkan BYD tersebut terbabas dan melanggar belakang kereta lain yang sedang berhenti di lorong kiri dan beberapa kereta lain,” katanya.

Jelasnya, pemandu BYD ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.

Lima pemandu lain yang terbabit dalam kemalangan itu berusia 26 hingga 63 tahun tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan itu turut tular dalam media sosial sejak petang semalam dengan ada pihak mengaitkan kejadian tersebut dengan mabuk dan dadah piu piu.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN