PENDANG – Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan terbakar di Kilometer (KM) 71.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian pada pukul 5.50 petang itu menyebabkan mangsa berusia 36 tahun dari Taman Setia meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dalam perjalanan dari Pendang menghala ke Gurun.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal itu dipercayai hilang kawalan sebelum terseret dan terbakar. Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Pendang yang tiba di lokasi tersebut,” katanya.
Mayat pemuda itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah memaklumkan, motosikal mangsa terbakar kira-kira 80 peratus dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 7.02 malam.- KOSMO! ONLINE














