PETALING JAYA – PD Forest di Sungai Menyala berpotensi diperkasakan sebagai hab pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan hutan bagi memastikan pengurusan khazanah negara terus kekal relevan serta mampan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika lawatannya ke Hutan Warisan Negeri Sembilan tersebut bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
Menurutnya, lawatan itu membuka ruang untuk bertukar pandangan mengenai usaha pemuliharaan hutan, pengurusan kawasan rekreasi, pendidikan alam sekitar serta cabaran yang dihadapi petugas di lapangan.
“Banyak perkara yang boleh diperkukuhkan supaya pengurusan hutan negara terus relevan dan mampan,” katanya.
Beliau berkata, PD Forest bukan sahaja mempunyai kepentingan dari sudut biodiversiti, malah mempunyai nilai sejarah selain berkait rapat dengan adat dan budaya Negeri Sembilan.
Katanya, warisan alam itu perlu terus dipelihara agar dapat dinikmati serta dihargai oleh generasi akan datang.
Dalam lawatan tersebut, Syed Ibrahim turut menyaksikan demonstrasi pasukan pemanjat Jabatan Perhutanan yang bertanggungjawab mendapatkan benih pokok seperti meranti tembaga bagi tujuan penanaman semula hutan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan atas dedikasi mereka memelihara khazanah negara serta menghargai komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh agenda kelestarian melalui pelbagai inisiatif pemuliharaan hutan dan pembangunan ekopelancongan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika mengunjungi kawasan hutan dengan tidak mengambil tumbuhan atau meninggalkan sampah demi memastikan kelestarian alam terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE














