PETALING JAYA – Jesselton University Colege (JUC) telah melantik Pengasas dan Pengerusi OE EduGroup, Datuk Dr Calvin Khiu, sebagai Profesor Jemputan dalam bidang Keusahawanan (Visiting Professor of Entrepreneurship).
Pelantikan itu bertujuan untuk mengintegrasikan pengalaman luas beliau dalam pengurusan perniagaan dan pembangunan usahawan ke dalam sistem pendidikan tinggi secara lebih sistematik, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan amalan sebenar dunia perniagaan.
Presiden dan Pengerusi Lembaga Gabenor Jesselton University Colege, Prof. Datuk Dr Fred Y. F. Chin, berkata, pengalaman praktikal serta pencapaian Khiu dalam pembangunan usahawan merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan tersebut.
“Pengalaman praktikal yang luas serta pencapaian Khiu dalam pembangunan usahawan merupakan antara faktor utama yang dipertimbangkan dalam pelantikan ini.
“Kami berharap beliau dapat berkongsi pengalaman sebenar dalam membuat keputusan keusahawanan, pengurusan organisasi dan pertumbuhan perniagaan secara langsung dengan pelajar peringkat sarjana dan kedoktoran kami.

“Melalui perkongsian ini, para pelajar berpeluang memahami realiti mengendalikan perniagaan yang melangkaui pembelajaran akademik mereka,” katanya dalam kenyataan.
Pelantikan tersebut turut mencerminkan usaha memperluas pendekatan pendidikan keusahawanan agar tidak hanya tertumpu kepada konsep dan kerangka teori, sebaliknya turut merangkumi penilaian pasaran sebenar, proses membuat keputusan strategik serta cabaran dalam pengurusan organisasi.
Selain memperkukuh pengetahuan teori dan kemahiran penyelidikan, pelajar juga berpeluang memperoleh pendedahan mengenai cara usahawan menghadapi perubahan, membuat keputusan penting dan merancang pertumbuhan perniagaan.
Khiu telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan keusahawanan dan dunia perniagaan dijangka berkongsi pengalaman praktikal beliau dalam mengendalikan perniagaan serta pendekatan sistematik yang digunakan dalam pembangunan usahawan.
Perkongsian tersebut diharap dapat membantu pelajar membina pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai keusahawanan dan pengurusan perniagaan, di samping melengkapkan asas akademik sedia ada.
Jesselton University Colege dan Khiu turut berkongsi visi untuk menggabungkan sumber pendidikan tinggi dengan perspektif dunia perniagaan sebenar bagi menyediakan laluan pembelajaran yang lebih praktikal kepada generasi baharu usahawan dan pemimpin perniagaan.
Pendekatan ini diharap dapat membantu menterjemahkan pengetahuan dan idea yang dipelajari di bilik kuliah kepada aplikasi serta amalan dalam persekitaran perniagaan sebenar – KOSMO!ONLINE
















