fbpx
PREMIS Network School yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri.

Network School diarah henti operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan Johor menyokong keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) serta mengarahkan semua operasinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa esok.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat terbabit.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan selepas aduan dan maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan serta ketidakpatuhan dikenal pasti mengikut proses undang-undang.

“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi.

“Kerajaan negeri akan terus memperketat penyelarasan antara agensi supaya sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani dengan segera,” katanya.

Onn Hafiz menegaskan Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merancakkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, namun tiada mana-mana pelabur atau organisasi boleh mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menggesa Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau kesalahan lain di bawah undang-undang Malaysia.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura dan sebarang kelemahan sistem imigresen perlu ditangani segera.

Pada masa sama, beliau menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya didapati melanggar syarat ditetapkan.

Tambahnya, semua agensi berkaitan juga diminta memperketat proses due diligence, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi dan naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.

Jelasnya, semua perkara berhubung tindakan itu telah disembah maklum dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN