KUALA LUMPUR – Nama perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak tersenarai dalam skuad badminton kebangsaan yang akan menggalas cabaran pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 September depan.
Turut tidak berada dalam senarai akhir ke temasya sukan empat tahun sekali itu adalah pemain beregu campuran, Toh Ee Wei yang sedang menjalani rehabilitasi selepas pembedahan lutut di Melbourne, Australia.
Ketiadaan pemain kelahiran Melaka itu membuka ruang buat Cheng Su Yin untuk mengisi kekosongan tersebut apabila bakal membentuk gandingan bersama Chen Tang Jie bagi acara beregu campuran.
Satu lagi slot acara tersebut menjadi milik gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang turut diberikan kepercayaan bagi menggalas cabaran negara pada temasya itu.

Bagi acara beregu lelaki, ada sedikit kejutan apabila Soh Wooi Yik tidak disenaraikan dan akan menyaksikan gandingan asalnya, Aaron Chia bakal berpasangan dengan Tee Kai Wun selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merombak sektor tersebut.
Pasangan No.6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab bagi memburu kilauan pingat emas di Sukan Asia.
Dengan ketiadaan Zii Jia, acara perseorangan lelaki bakal digalas Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala K. Letshanaa dan Wong Ling Ching akan beraksi dalam acara perseorangan wanita.

Malaysia turut mempertaruhkan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bersama pasangan muda, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.
Bagi acara berpasukan, skuad lelaki akan turut diperkuatkan dengan kehadiran Eogene Ewe dan Kong Wei Xiang bagi memperkukuhkan acara perseorangan selain Tang Jie dan Soon huat untuk beregu.
Skuad wanita pula dibarisi Letshanaa, Ling Ching, Oo Shan Zi, Eng Ler Qi, Pearly, Thinaah, Zi Yu, Noraqilah, Su Yin dan Shevon. – KOSMO! ONLINE














