JAKARTA – Rakaman video yang memaparkan sebuah kereta elektrik dilengkapi panel solar sedang dipandu di jalan raya di Indonesia tular di media sosial dan mencuri tumpuan ramai, lapor agensi berita Radar Kediri.
Kejadian dipercayai berlaku di wilayah Sumatera Utara berdasarkan nombor pendaftaran kereta adalah ‘BK’ serta papan tanda jalan Medan–Binjai.
Inovasi panel solar yang dipasang pada bahagian belakang kenderaan itu dipercayai berfungsi membantu mengecas bateri secara langsung sepanjang perjalanan.
Teknologi ini dilihat sebagai langkah praktikal yang berpotensi mengurangkan kebimbangan pemandu terhadap risiko kehabisan kuasa bateri secara tiba-tiba.
Perkembangan itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial.
Rata-rata warganet menganggap usaha sedemikian sebagai antara inovasi tempatan yang menarik dan berpotensi dalam merancakkan lagi pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan. – AGENSI














