PUTRAJAYA – Masih diterima selepas terpalit kontroversi, pelakon Azar Azmi mengakui menumpang rezeki anak apabila tetap diberi peluang kembali ke arena lakonan selepas bertahun-tahun menyepi.
Azar atau nama sebenarnya Azar Ameerah Azmi, 37, tidak menyangka penerbit, syarikat produksi serta orang ramai tetap menaruh keyakinan terhadap dirinya.
“Sejujurnya buat masa sekarang ini pun saya sebenarnya masih tak sangka. Apa yang terjadi sebelum ini saya fikir orang dah tak sukakan saya.
“Tapi alhamdulillah, saya persatu tawaran datang. Memang saya tak sangka. Apa yang saya dapat hari ini adalah rezeki anak-anak. Saya tumpang rezeki mereka sahaja,” katanya selepas sidang media drama bersiri, Bulan Henti Bicara di sini, hari ini.
Pada masa sama, ibu kepada dua anak itu mendedahkan dihambat rasa kekok ketika berada di set penggambaran drama arahan Eyra Rahman itu susulan bertahun meninggalkan dunia lakonan.
Begitupun, katanya berkat sokongan individu di sekeliling termasuk pelakon lain, kru dan pengurusnya membuatkan reda darah gemuruhnya.
“Mulanya kekok juga nak mula balik berlakon sebab lama sangat tinggal. Berdebar-debar, tapi seluruh pasukan banyak bagi tunjuk ajar, terus tenang dan lancar.
“Pengurus saya pun banyak bagi nasihat. Berulang kali dia pesan paling penting buar persiapan untuk membolehkan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Tambahnya, momen pertama kembali ke set penggambaran turut mengundang sebak sehingga dia mengalirkan air mata.
“Dalam hari tertanya-tanya ‘aku ni relevan lagi ke?’. Banyak yang bermain di fikiran. Nampaknya bakat saya masih diperlulkan.
“Sudah lima ke tujuh tahun tak berlakon, mustahil saya tak rindu nak bekerja semula. Apabila dapat peluang serta ruang buatkan saya rasa sebak,” kongsinya.
Menerusi drama siaran slot Megadrama di Astro bermula 27 Julai ini, Azar membawakan watak orang kelainan upaya juga isteri pertama kepada Jamali lakonan Azhan Rani, Faziah.
Terdahulu, pada Mac lalu nama pelakon drama Nur 2 itu menjadi bualan selepas dia dan suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes penipuan tanah kurnia dan darjah kebesaran.
Begitupun, Azar itu dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua terbabit. – KOSMO! ONLINE














