KUALA LUMPUR – Polis menahan empat remaja lelaki berusia 14 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang remaja sehingga cedera parah di kawasan bawah blok Residensi PRIMA Alam Damai, Cheras di sini, 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada ibu mangsa kira-kira pukul 12.54 tengah malam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan empat remaja lelaki tempatan berusia sekitar 14 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
“Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan lanjut dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan seorang remaja dipukul beberapa kali di bahagian muka dan kepala oleh beberapa individu dipercayai rakan sebaya. – KOSMO! ONLINE














