fbpx
Gambar hiasan

Sindiket ‘scammer’ di Kuantan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Satu sindiket penipuan yang beroperasi di bandar raya ini dan menyasarkan rakyat Amerika Syarikat berjaya dilumpuhkan dalam serbuan di sebuah premis di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, serbuan pada pukul 11 malam itu membawa kepada penahanan seramai 16 individu berusia 24 hingga 51 tahun.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Taiwan dan 12 warga Filipina termasuk lapan wanita.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk 15 buah komputer riba, 21 buah telefon bimbit, ‘router’, tetikus, lima helai baju kemeja, dua helai ‘blazer’ dan empat ‘epaulette’ dengan nilai keseluruhan sebanyak RM55,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azry Akmar, kesemua 16 suspek itu direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati premis itu dipercayai dijadikan pusat operasi bagi aktiviti penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Katanya, sindiket tersebut menyasarkan mangsa warga AS bagi memperdaya mereka untuk menyerahkan wang melalui pelbagai helah dan modus operandi yang dirancang.

“Siasatan awal turut mendapati dua warga Taiwan yang ditahan disyaki dalang sindiket tersebut, manakala warga Malaysia pula berperanan sebagai ‘runner’ dan pemandu.

“Warga Filipina dipercayai bekerja sebagai ejen khidmat pelanggan yang berhubung secara langsung dengan mangsa,”ujarnya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang panggilan telefon daripada individu yang mengaku pegawai polis atau wakil mana-mana agensi penguat kuasa.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai arahan yang diterima melalui telefon, tidak mendedahkan maklumat perbankan atau membuat transaksi kewangan tanpa membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang sah.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan boleh disalurkan kepada pihak polis atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan segera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN