fbpx
Wan Muhammad Azri atau Papagomo.

Rayuan pendakwaan pembebasan Papagomo diketahui 31 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 31 Julai bagi keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan penulis blog Papagomo atas pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan negara barat.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berkata pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri tidak cacat walaupun saksi pendakwaan pertama, Hisham Sharudin telah menarik balik laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri.

“Mahkamah ini tidak boleh mengetepikan kuasa Peguam Negara (AG) yang termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang memutuskan untuk meneruskan pendakwaan ke atas responden,” katanya.

Sementara Muhammad Rafique pula menghujahkan pihak ppendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa kenyataan anak guamnya adalah hasutan di bawah undang-undang.

“Mahkamah Sesyen telah membuat keputusan yang betul berdasarkan keterangan saksi serta peruntukan undang-undang semasa yang tidak mewajarkan suatu campur tangan dari mahkamah,” katanya.

Pada 3 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali melepaskan dan membebaskan Wan Muhammad Azri daripada pertuduhan itu.

Hakim Siti Aminah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Wan Muhammad Azri diakhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 tengahari pada 8 November 2023.

Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin Bukit Bintang di sini.

Berikutan itu kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN