SERDANG – Polis mengesahkan ancaman bom di sebuah hospital swasta di sini, petang tadi adalah palsu selepas pemeriksaan menyeluruh tidak menemukan sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung ancaman tersebut pada pukul 2.54 petang.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat, polis menggerakkan Unit Pemusnah Bom bersama Pasukan Anjing Pengesan (K9) ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan di dalam dan luar bangunan hospital.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan ditemui di kawasan hospital berkenaan.
“Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor turut hadir ke lokasi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah secara tanpa nama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, selain hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














