SUNGAI PETANI – Kegiatan tiga beradik lelaki mencuri motosikal di kawasan parkir luar stesen kereta api di sini terbongkar apabila mereka ditahan menerusi Op Lejang, baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek yang berusia 14, 15, dan 16 tahun itu merupakan antara empat ahli Geng Ventri yang diberkas termasuk seorang pemilik bengkel motosikal berusia awal 20-an.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa laporan mengenai kehilangan motosikal sebelum menubuhkan pasukan petugas khas.
Menurutnya, dua beradik berusia 14 dan 15 tahun yang masih bersekolah ditahan ketika menolak dua buah motosikal yang baru dicuri.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan abang mereka berusia 16 tahun dan pemilik bengkel yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga beradik itu mengaku menyasarkan motosikal yang tidak dikunci pada bahagian pemegang sebelum ditolak ke bengkel untuk dileraikan dan dijual alat ganti.
Katanya, polis turut merampas tiga motosikal curi serta pelbagai komponen motosikal yang dileraikan di bengkel berkenaan. Semakan mendapati kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan bebas dadah.
Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, pihaknya menumpaskan Geng RXZ dengan penahanan tiga lelaki berusia 25 hingga 27 tahun secara berasingan di Padang Serai minggu lalu.
Katanya, polis merampas dua motosikal Yamaha RXZ, dua enjin motosikal Yamaha RXZ dan Honda EX5, empat kulit enjin Yamaha RXZ, empat rangka motosikal pelbagai jenama serta dua mesin pemotong dengan nilai keseluruhan RM50,000.
“Sindiket itu mahir mencuri motosikal Yamaha RXZ sebelum meleraikannya di sebuah bengkel. Semua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah serta dadah,” katanya.
Kesemua suspek termasuk tiga beradik itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Tambahnya, dalam Ops Lejang sama, polis merampas sepucuk pistol tiruan bersama magazin, sembilan bebola besi (ball bearing), sebilah kerambit dan 0.56 gram syabu selepas menyerbu sebuah rumah di Sidam Kiri.
Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah dan sembilan rekod dadah direman untuk siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357). – KOSMO! ONLINE














