KUANTAN – Tindakan tiga wanita melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah apabila mereka ditahan pihak polis malam semalam.
Dalam video tular berdurasi 48 saat menyaksikan sekumpulan penunggang motosikal memandu laju dengan tiga daripadanya melakukan aksi Superman di Jalan Bypass Kuantan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan polis berjaya mengesan tiga individu dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya pada pada Khamis lalu.
“Beberapa individu telah hadir ke balai polis trafik Kuantan dan hasil soal siasat mendapati tiga penunggang mengaku terlibat dalam aksi berbahaya tersebut.
“Tiga individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan tiga buah motosikal jenis yamaha LC135 turut dirampas,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.-KOSMO! ONLINE














