PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh susulan kejadian pokok tumbang yang mengorbankan seorang lelaki di Jalan Tun Razak, di sini malam tadi.
DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia serta berharap individu lain yang terlibat menerima rawatan dan bantuan yang diperlukan.
Menurut DBKL, sebaik menerima laporan pada kira-kira pukul 10.14 malam, pasukannya digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi kecemasan termasuk melaksanakan kerja pemotongan dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan.
“Kerja pembersihan selesai pada kira-kira pukul 1.27 pagi manakala laluan dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada masa yang sama,” katanya, hari ini.
DBKL berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan teknikal terperinci bersama Persatuan Arborist bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Siasatan tersebut meliputi keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah, faktor persekitaran serta aspek lain yang berkaitan. Semakan turut dibuat terhadap rekod pemeriksaan, penyelenggaraan dan sebarang aduan terdahulu berkaitan pokok serta lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan rekod awal, pokok berkenaan daripada spesies peltophorum pterocarpum (yellow flame) dianggarkan berusia 19 tahun dan kali terakhir diperiksa serta disenggara pada 15 Mei 2025.
Katanya, kontraktor yang dilantik DBKL turut melaksanakan kerja pengurangan silara (crown reduction) berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Arboris Bertauliah.
“Sebagai langkah segera, DBKL telah memulakan pemeriksaan terhadap pokok matang dan pokok yang berpotensi mendatangkan risiko di semua jalan utama Kuala Lumpur khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai jumlah trafik dan pergerakan orang awam yang tinggi,” katanya.
Terdahulu, Kosmo melaporkan seorang lelaki maut manakala tujuh sekeluarga menerima rawatan di hospital selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Singapura, malam tadi. – KOSMO! ONLINE














