fbpx
Poster dikongsikan PHM berhubung panduan sekiranya mahu bangun awal pagi menonton pentas final Piala Dunia 2026.

Piala Dunia 2026: ‘Nak elak MC, EL esok, pergi tidur dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mereka yang ingin berjaga pukul 3 pagi ini bagi menyaksikan pentas final Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Sepanyol, disarankan untuk tidur dahulu sekitar pukul 8.30 atau 9 malam ini serta bangun semula sekitar 2.30 pagi.

Menerusi hantaran Facebook Public Health Malaysia (PHM), ini kerana mereka perlu membuat perancangan awal sekali gus memastikan mendapat tidur yang cukup sekali gus mengelakkan mengambil cuti sakit (MC) atau cuti kecemasan (EL) esok.

“Tidur yang cukup tetap paling penting. Tetapi jika anda masih mahu berjaga menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina pada pukul 3 pagi, Isnin 20 Julai, buatlah dengan perancangan.

“Kalau esok masih perlu bekerja, pilihan paling selamat ialah tidur seperti biasa dan tengok highlight (rakaman sorotan) kemudian. Tetapi jika anda tetap mahu berjaga, jangan buat tanpa perancangan,” menurut hantaran tersebut.

Menurut PHM, terdapat beberapa langkah untuk mengurangkan risiko terlalu mengantuk, hilang fokus atau akhirnya terpaksa ambil MC atau EL esok.

“Bukan berjaga terus dari malam, kemudian berharap kopi boleh selamatkan keadaan. Tidur seawal mungkin sebelum perlawanan. Siapkan pakaian kerja, beg, dokumen, sarapan dan alarm lebih awal. Bila badan kurang tidur, perkara kecil pun boleh jadi lambat dan mudah terlupa.

“Ambil kopi secara sederhana sekitar waktu perlawanan. Kopi mungkin membantu anda kekal berjaga, tetapi ia tidak menggantikan tidur dan tidak semestinya memulihkan fokus sepenuhnya.

“Pilih makanan ringan dan minum air secukupnya. Elakkan makanan terlalu berat, berminyak atau terlalu manis yang boleh membuatkan badan lebih lesu. Selepas perlawanan, tidur semula jika masih ada ruang walaupun hanya 30 hingga 60 minit,” katanya.

Selain itu, ketika waktu rehat, adalah disaran mengambil power nap (tidur sementara) sekitar 15 hingga 20 minit.

“Paling penting, jika mata terlalu berat, kerap menguap, sukar fokus atau hampir terlelap, jangan memandu.

“Tengok final boleh. Tetapi jangan sampai keesokan harinya anda terpaksa ambil MC atau EL kerana badan sudah terlalu penat. Rancang awal. Tidur dulu. Tonton kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN