PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) diminta menjelaskan kriteria digunakan syarikat insurans sebelum menggugurkan doktor pakar daripada panel kemudahan tanpa tunai (cashless) bagi memastikan tindakan itu tidak menjejaskan hak pesakit mendapatkan rawatan.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan berkenaan perlu mempunyai asas penilaian yang jelas sama ada membabitkan prestasi klinikal, isu etika dan profesional, kelemahan dokumentasi atau pertimbangan komersial.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, terdapat kes pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa menghentikan prosedur berkenaan kerana doktor yang bertugas tidak mempunyai kemudahan cashless.
Situasi itu menyebabkan doktor dari hospital lain terpaksa dipanggil bagi meneruskan rawatan pesakit terbabit.
“Persoalannya, apakah kriteria sebenar yang digunakan oleh syarikat insurans untuk mengeluarkan seseorang doktor pakar daripada panel cashless?
“Jika atas alasan komersial, apakah jaminan bahawa doktor tidak dipilih atau diketepikan secara sewenang-wenangnya tanpa penilaian yang telus dan adil?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kira-kira 190 doktor pakar di seluruh negara dianggarkan kehilangan kemudahan cashless.
Sehubungan itu, beliau meminta BNM menjelaskan sama ada terdapat garis panduan yang mewajibkan syarikat insurans memberikan alasan bertulis, bukti serta hak rayuan sebelum seseorang doktor dikeluarkan daripada panel berkenaan.
“Di manakah hak pesakit yang membayar premium insurans setiap bulan kerana apabila mereka jatuh sakit, pihak insurans seolah-olah mengatur pilihan doktor dalam senarai mereka tanpa mengikut prinsip yang ditekankan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) iaitu melindungi hak memilih doktor,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















