SEREMBAN – Isu keselamatan serantau, konflik geopolitik, jaminan bekalan makanan dan kerjasama tenaga akan menjadi antara agenda utama yang dibawa Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ASEAN perlu memperkukuh kerjasama serantau dengan memberi tumpuan kepada agenda strategik yang memberi kesan langsung kepada negara anggota, selain mencapai pendirian bersama dalam menangani cabaran semasa.
Menurut beliau, perkembangan di Laut China Selatan, konflik membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, serta krisis Palestin di Gaza yang kini merebak ke selatan Lubnan, antara agenda penting yang akan dibincangkan.
“Dunia sedang berdepan pelbagai konflik dan ASEAN perlu mempunyai pendirian yang jelas terhadap isu-isu ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program PDM Barisan Nasional (BN) Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini hari ini.
Mohamad berkata, walaupun konflik berlaku di luar rantau ASEAN, impaknya tetap dirasai negara anggota, justeru satu pendirian bersama perlu dicapai bagi menangani kesan yang timbul.
Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN turut menjadi agenda penting bagi membolehkan bekalan elektrik dari Vietnam, Laos dan Kemboja disalurkan ke Malaysia serta Singapura. – KOSMO! ONLINE














