PORT DICKSON – Walaupun berkempen dengan motosikal, semua calon dan jentera diingatkan supaya mematuhi undang-undang dengan memakai topi keledar sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 1 Ogos depan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada yang didapati melanggar peraturan tersebut.
Menurut Alzafny, polis telah memanggil semua wakil calon dan parti politik bagi memberikan penerangan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh berkempen.
“Kita telah memberi penerangan serta peringatan kepada semua wakil parti mengenai perkara yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen, termasuklah berkenaan soal pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal.
“Polis bersama Suruhanjaya Pilihan Raya juga menubuhkan kumpulan pemantau untuk memastikan segala arahan dipatuhi,” katanya selepas proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Port Dickson, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














