fbpx
Gambar hiasan.

103 calon sah bertanding rebut 36 kerusi DUN – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, selepas proses penamaan calon ditutup tepat pukul 10 pagi, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 103 kertas penamaan calon diterima dan disahkan layak bertanding, membabitkan wakil daripada pelbagai parti politik serta calon Bebas.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional 11 calon dan empat calon Bebas.

Katanya, selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing menampilkan seorang calon.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon di Seremban, hari ini.

Ramlan memaklumkan tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses penamaan yang berlangsung di lapan Pusat Penamaan Calon di seluruh Negeri Sembilan.

Dari segi persaingan, katanya, 21 kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 11 kerusi satu lawan satu, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.

Beliau turut memaklumkan daripada keseluruhan 103 calon yang bertanding, seramai 94 ialah lelaki manakala sembilan lagi wanita.

Mengikut pecahan umur, tiga calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 12 calon( 30 hingga 39 tahun) , 39 calon (40 hingga 49 tahun) , 33 calon ( 50 hingga 59 tahun) dan 16 calon berusia 60 tahun ke atas.

Ramlan berkata, calon PH bagi DUN Gemencheh, Abd Latif A Tambi, berusia 70 tahun, merupakan calon tertua, manakala calon Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Leevineshwaraan Murugan, 23, ialah calon termuda.

Beliau berkata, tempoh rasmi berkempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan pertandingan dibuat hari ini dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 31 Julai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN