JOHOR BAHRU – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor menyaksikan empat muka baharu menyertai pentadbiran kerajaan negeri selepas Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan senarai Exco secara rasmi di Kediaman Menteri Besar Saujana, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memegang portfolio Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan.
Empat muka baharu yang dilantik ialah ADUN Kukup, Md Israk Abdullah, Dr. Mohd Naqib Ghazali (Panti), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan P. Pannir Selvam (Perling).
Md. Israk dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, manakala Dr. Mohd Naqib memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.
Sementara itu, Hasrunizah pula dilantik sebagai Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pannir Selvam dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.
Dalam pada itu, enam Exco sedia ada dikekalkan memegang portfolio masing-masing.
Mereka ialah Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam).
Turut dikekalkan ialah Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang sebelum ini menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar) bagi meneruskan tanggungjawab dalam pentadbiran negeri.
Empat Exco sebelum ini pula iaitu Khairin-Nisa Ismail (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri), Datuk Zahari Sarip (Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri), Aznan Tamin (Exco Pendidikan dan Penerangan) dan K. Raven Kumar (Perpaduan, Warisan, dan Kebudayaan) digugurkan.
Daripada empat Exco tersebut, hanya Khairin Nisa tidak bertanding mempertahakan kerusi DUN Serom pada PRN ke-16.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan berlangsung di Istana Bukit Serene pada pagi hari ini.
Turut dihadir ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir. – KOSMO! ONLINE














