REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd. Shah memulakan hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan menziarahi pusara isterinya di Seremban sebelum menuju ke pusat penamaan calon di Rembau, hari ini.
Ahmad Shahir yang lebih dikenali sebagai Ustaz Shahir berkata, ziarah tersebut dilakukan bagi mengenang insan yang disifatkannya sebagai sumber kekuatan sepanjang perjalanan hidup dan perjuangannya.
Menurut hantaran di media sosial, arwah isterinya sentiasa berada di sisi ketika melalui pelbagai ujian kehidupan selain tidak pernah berhenti memberikan semangat dan mendoakan setiap langkah perjuangannya.
“Dialah insan yang sentiasa berada di sisi saya dalam setiap suka dan duka. Bersama-sama mengharungi ujian kehidupan, memberi kekuatan ketika saya lemah dan sentiasa mendoakan setiap langkah perjuangan yang saya pilih.
“Hari ini, walaupun jasadnya sudah tiada, doa, kasih sayang dan pengorbanannya tetap terpahat dalam hati. Semoga Allah SWT berikan kekuatan dan dipermudahkan urusan dalam menggalas amanah serta perjuangan yang sedang saya lalui,” katanya hari ini.
Ahmad Shahir yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan akan membuat penampilan sulung sebagai calon PH di DUN Paroi. Beliau dijangka berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional, Kamarol Ridzuan Mohd. Zain dan calon Parti Bersatu, Mohd. Nazree Mohd. Yunus.
DUN Paroi menjadi antara kerusi paling mendapat perhatian pada PRN Negeri Sembilan kali ini kerana mempunyai hampir 65,000 pengundi, sekali gus muncul sebagai kawasan dengan jumlah pemilih terbesar di negeri itu. – KOSMO! ONLINE














