SEREMBAN – Parti Orang Asli Malaysia (Asli) mempertaruhkan calon wanita Orang Asli pertama yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kali ini.
Presiden Asli, Rashid Ka’ berkata, ini merupakan kali kedua Asli meletakkan calon sejak parti ditubuhkan pada 2023 selepas bertanding di DUN Endau pada PRN Johor, baru-baru ini.
“Calon wanita Asli ini, Dayana Dal merupakan seorang ibu yang kental dan berani tampil ke hadapan menyahut cabaran parti bertanding, yang penting kita mahu suara Orang Asli berada di peringkat negeri.
“Harapan kita jika calon Asli menang, kita akan bersama Kerajaan Negeri mentadbir urus negeri Negeri Sembilan, rata-rata masalah Orang Asli adalah isu tanah adat dan tanah Melayu yang dirampas diceroboh hari demi hari hampir di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Sosialis Malaysia Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Dayana, 40, merupakan suri rumah dan mempunyai tiga orang anak berasal dari Suku Semelai Kampung Orang Asli Jeram Padang, Jempol.
Menurut Dayana, beliau bersedia mempertaruhkan diri untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan kali ini untuk menempatkan diri dalam DUN kerana secara tidak langsung membuka mata masyarakat luar terhadap Orang Asli.
“Saya juga akan membawa suara-suara masyarakat Orang Asli ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














