PENDATANG baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memberi jaminan akan menyelesaikan isu sekatan perpindahan pemain supaya tidak menjejaskan persiapan pasukan selepas sah menyertai Liga Super 2026/27 yang akan bermula, bulan depan.
Pengurusan KRW FC dalam satu kenyataan berkata, pihak kelab sedang melalui proses penyelesaian bersama pihak-pihak berkaitan dan harap dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Berhubung isu sekatan perpindahan, pihak kelab ingin menjelaskan bahawa perkara tersebut sedang melalui proses penyelesaian.
“Kelab komited memenuhi segala keperluan yang ditetapkan dan yakin isu berkenaan dapat diselesaikan mengikut saluran serta prosedur yang sewajarnya sebelum saingan Liga Super bermula,” kata kenyataan tersebut.
Kosmo! sebelum ini mendedahkan KRW FC menjadi kelab terbaharu dikenakan sekatan pendaftaran pemain untuk jendela perpindahan ketika ini berdasarkan semakan di laman sesawang sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sementara itu, Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun mengakui pihaknya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi pasukan akan terus berusaha untuk mengharumkan nama negeri Kelantan.
“KRW FC tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi yang pastinya, kami akan melangkah secara sistematik dan realistik.
“Kami akan pastikan nama Kelantan terus berada di persada bola sepak negara dan Stadium Sultan Muhammad IV akan terus bergema dengan sorakan dan laungan keramat.
“Insya-Allah, Kelantan Red Warrior FC terus berusaha sedaya upaya untuk memenuhi harapan semua pihak bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Kelantan,” katanya.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengesahkan KRW FC layak meraih slot automatik mengesahkan tempat di Liga Super selepas PDRM FC menarik diri sekali gus melengkapkan penyertaan 12 pasukan musim depan.














