PASUKAN Brunei DPMM FC serius mencabar saingan Liga Super musim 2026/27 apabila berjaya menandatangani khidmat pemain sensasi Guatemala, Oscar Santis yang memiliki reputasi cukup mengagumkan di pentas antarabangsa.
Sebagai rekod, pemain yang berusia 27 tahun itu menjadi antara watak penting Guatemala pada saingan Piala Emas CONCACAF sehingga melangkah ke separuh akhir tahun lalu.
Santis mengakui tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran DPMM FC selepas melihat kesungguhan pengurusan dan ketua jurulatih, Jamie McAllister yang menjelaskan visi pasukan untuk tampil kompetitif dalam kempen di Liga Super musim depan.
“Saya amat bersyukur atas peluang ini. DPMM FC adalah sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang hebat, sasaran yang tinggi dan jelas untuk musim kedua mereka di Liga Malaysia.
“Apabila saya berbincang dengan pihak pengurusan serta jurulatih, saya dapat melihat dengan jelas visi mereka dan kesungguhan mereka untuk membawa saya menyertai kelab ini dan ia memberi saya keyakinan yang tinggi untuk datang ke sini,” katanya.
Mengulas lanjut, Santis turut percaya saingan bola sepak di Malaysia mampu melonjakkan lagi reputasinya selepas hanya mewakili kelab sekitar Amerika Latin sebelum ini.
“Secara peribadi, Liga M adalah saingan yang sesuai untuk saya terus berkembang sebagai pemain, mencabar diri dan membantu pasukan mencapai kejayaan.
“Saya yakin dengan kemampuan, kualiti dan bakat yang saya miliki di mana saya pernah membuktikan diri dalam beberapa liga sebelum ini. Sekarang saya mahu melakukan perkara yang sama bersama DPMM FC,” katanya.
Sejak melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Guatemala pada 2021, Santis sudah mengumpul 57 caps antarabangsa dengan rekod 19 gol.
Dalam usaha memperkuatkan pasukan, Brunei turut membawa masuk pertahanan tengah Ghana, Ebenezer Abban serta bek kanan Indonesia, Muhammad Toha. – KOSMO! ONLINE















