PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detik malang apabila terpaksa membayar bil makanan yang mencecah lebih RM500 selepas ditinggalkan oleh seorang lelaki semasa janji temu mereka.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh @Senjaaaa.j yang berkongsi pengalaman pahitnya keluar bersama seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang doktor.
Menurutnya, makan malam itu tidak dirancang dan mereka berdua bersetuju untuk makan makanan barat, namun, lelaki tersebut mencadangkan untuk pergi ke restoran yang mewah dan tidak ramai orang.
“Saya ada tanya dia juga sama ada dia okey atau tak dengan restoran yang saya cadangkan tu terutamanya dari segi harga. Tapi dia kata okey dan tempat tu pula katanya berdekatan dengan hospital dia kerja,” ujarnya.
Namun, ketika sedang bertemu janji, lelaki tersebut secara tiba-tiba memberikan alasan untuk keluar seketika kerana mahu memberikan barang kepada rakannya dan langsung tidak kembali ke restoran tersebut.
“Dia tiba-tiba kata nak bagi barang kat kawan dia dan langsung tak munculkan diri. Penyudahnya, saya yang kena bayar semua dan balik rumah sendiri,” katanya pada hantaran tersebut.
Wanita itu turut menghantar mesej kepadanya dengan menunjukkan resit jumlah makanan mereka dan meminta lelaki berkenaan untuk membayar bahagiannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak bertanggungjawab lelaki tersebut yang meninggalkan janji temunya seorang diri.
“Jangan jadi untuk kali kedua ya awak. Dah boleh block (sekat) nombor dia. Lelaki macam ini memang kuat menipu,” kata @Hangrycharmy.
“Untuk janji temu kali pertama, elakkan pergi restoran yang mahal wahai wanita semua. Takut kena scam (tipu) macam ni, kita yang terkontang-kanting kena bayar mahal-mahal macam tu,” tambah @Suncrow26 pula. – KOSMO! ONLINE














