ARAU – Seorang penganggur direman selama enam hari bermula hari ini selepas disyaki memukul isterinya dalam kejadian keganasan rumah tangga di sebuah rumah di Jalan Kubang Siput di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 39 tahun itu dikeluarkan Majistret di Mahkamah Kangar sehingga 23 Julai ini.
“Suspek ditangkap ketika hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau kira-kira pukul 11.44 pagi semalam,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Mohsin, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu selepas pasangan berkenaan berselisih faham berhubung tindakan mangsa mahu membawa anak bongsu mereka bersama-sama untuk mengambil anak lain dari sekolah.
Katanya, mangsa yang berusia 40 tahun bimbang meninggalkan anak bongsunya berusia empat tahun bersama suspek yang didakwa mengamuk selepas baru bangun daripada tidur.
“Suspek dipercayai menarik rambut mangsa sebelum menekan kepalanya ke lantai selain menumbuk bahagian belakang pinggang sehingga wanita itu kesakitan serta sukar bernafas dan berdiri,” ujarnya.
Katanya lagi, mangsa yang bekerja sebagai peniaga cendol kemudian membuat laporan polis kerana berasa takut dan tidak selamat berikutan kejadian sama didakwa pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk menerima rawatan dan laporan penuh pegawai perubatan mengesahkan wanita itu tidak mengalami patah tulang, sebaliknya hanya kecederaan tisu lembut.
Tambahnya, suspek mempunyai enam rekod lampau termasuk kes berkaitan dadah dan jenayah, manakala polis sudah merakam gambar tempat kejadian, melakar rajah kasar serta mengambil keterangan mangsa dan saksi. – KOSMO! ONLINE














