JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dipikul dengan penuh dedikasi, integriti serta keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Baginda bertitah, setiap dasar serta keputusan yang dibuat perlu sentiasa berteraskan kepentingan rakyat, selain mampu memberi manfaat kepada seluruh negeri Johor.
Menurut baginda, setiap Exco juga perlu sentiasa mendekati rakyat dengan turun padang bagi memahami keperluan dan permasalahan yang dihadapi masyarakat.
Pada masa sama, baginda mahu penyampaian perkhidmatan kerajaan diperkasakan supaya dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berintegriti.
Titah berkenaan dizahirkan selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Johor selepas mendapat perkenan baginda.
Majlis penuh istiadat itu turut disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Hadir sama, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Rahim Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir.
Barisan Exco baharu itu menggabungkan enam muka lama yang dikekalkan dan empat muka baharu susulan kemenangan Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Johor. – KOSMO! ONLINE














