LIPIS – Tidak hanya sekadar menerima dan mendengar laporan tetapi barisan kepimpinan kerajaan negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertindak proaktif turun padang melihat sendiri segala isu masyarakat seterusnya mencari jalan penyelesaian.
Itulah yang dilaksanakan kerajaan negeri Pahang melalui Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang mula dilaksanakan sejak 2025 di seluruh negeri menyaksikan semua kepimpinan diketuai Wan Rosdy dan Exco kerajaan negeri turun padang di kawasan DUN terpilih bagi menyelesaikan isu rakyat berkaitan portfolio masing-masing.
Pelaksanaan program khas Menteri Besar Pahang itu dilakukan sebulan sekali pada hari Rabu selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan dilaksanakan di daerah-daerah di dalam negeri Pahang.
Objektif utama program tersebut adalah untuk memperkukuhkan hubungan antara antara kerajaan negeri dan rakyat melalui pendekatan bersemuka serta turun padang.
Program yang boleh dikatakan hanya wujud di Pahang itu dapat mendekatkan barisan kepimpinan negeri dengan masyarakat lebih strategik dan pendekatan penyelesaian isu yang lebih strategik.
Had maksimum peruntukan bagi Menteri Besar adalah sebanyak RM30,000 manakala peruntukan untuk pengerusi jawatankuasa pula adalah sebanyak RM20,000 bagi setiap siri jelajah.
Antara lokasi yang telah dipilih untuk program ini adalah De wan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah di Rompin, DUN Sungai Lembing di Kuantan, DUN Guai di Bera dan terbaharu di DUN Padang Tengku, Lipis.
Wan Rosdy yang berpuas hati dengan pelaksanaan program itu berkata, jelajah Aspirasi Pahang 1st akan diteruskan kerana program tersebut menjadi satu platform berkesan untuk kerajaan negeri mendekati rakyat secara lebih dekat dan menyeluruh.
Katanya, melalui pendekatan turun padang itu, kepimpinan negeri dapat melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar pandangan rakyat serta mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian supaya setiap dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut beliau, program itu menjadi medium bagi mengenal pasti isu-isu setempat, menyelaras tindakan penyelesaian bersama jabatan dan agensi berkaitan serta memastikan penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan negeri sampai kepada rakyat dengan lebih berkesan.
“Keunikan Jelajah Aspirasi Pahang 1st adalah penglibatan keseluruhan barisan kepimpinan kerajaan negeri secara terus di lapangan. Pendekatan ini membolehkan setiap isu dilihat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan dan bukan hanya melalui laporan.
Selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri Negeri diadakan di daerah yang terlibat, Menteri Besar bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan turun ke kawasan sekitar mengikut portfolio masing-masing meninjau isu, keperluan, perkembangan setempat bersama jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.
Tambah Wan Rosdy, berdasarkan impak positif dan respon luar biasa daripada rakyat, beliau akan mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mengadakan program itu dua kali sebulan berbanding sekali sebulan pada masa ini.
Jelasnya, dengan penglibatan exco mengikut portfolio masing-masing serta kerjasama jabatan dan agensi berkaitan, tindakan susulan dapat diselaraskan dengan lebih cepat, tepat dan berkesan demi memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Ditanya mengenai maklum balas yang diterima daripada rakyat sejak Jelajah Aspirasi Pahang 1st diperkenalkan, beliau memaklumkan, rakyat menyambut baik komitmen kerajaan negeri yang sentiasa mengambil pendekatan mendengar dan melihat sendiri isu yang berlaku di peringkat akar umbi.
“Program ini membantu memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat serta memastikan aspirasi masyarakat terus diberi perhatian dalam perancangan pembangunan negeri.
“Saya berharap Jelajah Aspirasi Pahang 1st 2026 terus menjadi platform penting yang menghubungkan Kerajaan Negeri dengan rakyat.
“Segala pandangan, cadangan dan isu yang dibangkitkan akan diberi perhatian serta dijadikan panduan dalam menambah baik dasar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, idea Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st ini adalah berdasarkan kepada hasrat kerajaan negeri dan wakil rakyat setempat bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
Katanya, dengan cara bekerja secara berpasukan segala masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat apabila wakil rakyat setempat dibantu kepimpinan kerajaan negeri lain.
“Maknanya, ini adalah sinergi nilai tambah sebab kita bekerja sebagai satu pasukan, kita tidak hanya mengharapkan wakil rakyat setempat, memang wakil rakyat di Pahang ini ‘perform’ dan jalankan tugas dengan baik tetapi kalau kalau dahulu masalah itu boleh selesai dalam dua bulan mungkin bila kami turun mungkin ia boleh selesai dalam masa satu bulan,”katanya.
Beliau dan exco yang turun padang juga tidak turun dengan ‘tangan kosong’ sebaliknya telah bersedia dengan peruntukan diluluskan bagi membantu menyelesaikan isu setempat dengan segera.
“Maknanya kalau hendak buat mi, nak buat teh o, ramuan dia sudah ada, bukan baru nak pergi cari teh nak cari gula baru nak masak air, ini adalah satu usaha untuk kita mendekatkan dengan rakyat dan impaknya sangat bagus,” katanya. -KOSMO! ONLINE














