JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini bagi membincangkan mengenai pentadbiran negeri selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua Ahad lalu.
Sultan Ibrahim dipersembahkan beberapa perkara berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk hala tuju pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri.
Baginda turut menzahirkan harapan agar Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat oleh rakyat dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berintegriti dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap dasar dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Johor.
Pada PRN Johor Sabtu lalu, BN mencatatkan kemenangan luar biasa apabila menawan 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk terus mentadbir negeri itu.
Susulan kemenangan itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan melantik semula Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Onn Hafiz yang merupakan ADUN Machap pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada Mac 2022 selepas BN memenangi PRN Johor Ke-15.
Beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua di hadapan Pemangku Sultan Johor di Istana Bukit Serene, di sini Ahad lalu.
Dengan pelantikan semula Onn Hafiz, perhatian kini tertumpu kepada pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin komponen BN termasuk MIC Johor memaklumkan mereka menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar untuk menentukan barisan Exco.
Pelbagai pihak menjangkakan gabungan muka lama dan baharu akan menganggotai pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE















