Gambar hiasan janaan AI.

‘Kerajaan tolong bunyikan siren sekali lagi, anak dah mula main telefon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bunyi amaran kecemasan MySiren yang mengejutkan orang ramai hari ini nampaknya turut menjadi ‘senjata’ baharu ibu bapa untuk menghentikan anak-anak daripada bermain telefon bimbit.

Menerusi hantaran di Threads, seorang lelaki dikenali sebagai @najmilatifnasrudin berseloroh meminta kerajaan membunyikan semula siren berkenaan selepas anaknya kembali bermain telefon bimbit.

“Kerajaan tolong buat siren itu lagi sekali. Tadi anak saya dah berhenti ketakutan main telefon. Ini dia dah mula balik,” katanya.

Perkongsian tersebut mencuit hati ramai sehingga meraih kira-kira 98,400 tontonan dan 7,000 tanda suka.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut terhibur dengan perkongsian tersebut, malah ada yang berseloroh meminta siren berkenaan dibunyikan lebih kerap menjelang musim cuti sekolah.

“Buat kerap-kerap pun tak apa, terutama dekat cuti sekolah. Yang ini saya setuju. Bagi bergegar sedikit telefon itu, baru tahu erti takut,” kata @qaseh_qeela.

“Sama! Tolong tambah amaran ‘Pemilik telefon ini akan ditangkap jika didapati memegang telefon selepas amaran diberikan’,” seloroh @amyquiynn.

“Bagus juga ini. Kalau mereka tanya kenapa ada bunyi siren, cakap ada makhluk asing nak tangkap budak yang main telefon. Tunggu giliran sahaja,” kata @shira.edukids.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) secara serentak di seluruh negara bermula pukul 10.10 hingga 10.30 pagi tadi.

Ujian itu bertujuan menilai keupayaan sistem berkenaan dalam menyampaikan notifikasi kecemasan secara pantas, selain membiasakan orang ramai dengan bunyi amaran tersebut.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut meninjau pelaksanaan ujian berkenaan di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Kampung Pulau Meranti, Puchong.

MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disalurkan terus kepada peranti yang serasi menerusi rangkaian 4G dan 5G tanpa memerlukan penggunaan data internet atau aplikasi khusus.

Pada peringkat awal, sistem itu memberi tumpuan kepada penyampaian amaran berkaitan bencana seperti banjir dan tanah runtuh bagi membolehkan orang ramai mengambil tindakan segera untuk melindungi nyawa serta harta benda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN